Kajian mengenai skim insurans untuk membantu pesawah yang mengalami kerugian akibat bencana alam kini di peringkat akhir, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata kajian berkenaan yang dilakukan oleh Agro Bank antaranya bagi mencari mekanisme terbaik supaya pelaksanaan skim insurans berkenaan tidak membebankan petadi.

"Kita akan mencari mekanisme supaya dari segi pembayaran premium insurans tersebut tidak membebankan petani," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian hasil dan zakat Ladang Merdeka Ismail Mulong di sini, hari ini.

Ahmad Shabery menjangkakan dalam tempoh beberapa bulan ini, beliau akan dapat membentangkan hasil kajian tersebut kepada Kabinet.

"Kita minta syarikat insurans untuk menyambut perkara ini untuk melindungi petani kita dan tidak lagi mereka hanya bergantung (bantuan) kepada dana tabung bencana pertanian yang terhad dan banyak syarat," katanya.

Ahmad Shabery berkata bagi peringkat permulaan, skim perlindungan insurans itu hanya dikhaskan untuk penanam padi dan menjadi impian beliau untuk memperluaskannya bagi tanaman lain.

Katanya kerajaan sudah melaksanakan skim perlindungan insurans kepada nelayan yang memberi banyak manfaat terutama kepada keluarga apabila nelayan terlibat ditimpa kemalangan semasa di laut.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) telah membuat persiapan bagi menghadapi musim kemarau berikutan fenomena El Nino untuk menyalurkan air secukupnya di 28,000 hektar sawah di negeri ini.

Katanya usaha itu termasuk menyediakan lebih banyak pam mudah alih untuk menyedut air dari sungai ke sawah.